Negeri Selangor kini sedang berada dalam fasa peralihan kepada populasi yang semakin berumur dan diunjurkan menjadi Negeri Super-Aged menjelang tahun 2040. Menurut bank dunia, Negeri Super-Aged dikategorikan apabila sekurang-kurangnya 20% daripada populasi terdiri daripada warga emas yang berumur 65 tahun dan ke atas.
Justeru, isu-isu yang melibatkan warga emas seperti kesihatan fizikal dan mental serta sumber pendapatan bulanan yang rendah dijangka memberi kesan kepada perbelanjaan awam, kebajikan sosial dan sistem kesihatan.
Kerajaan Negeri Selangor melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) telah menetapkan matlamat kesejahteraan dan keterangkuman sosial sebagai satu aspek terpenting dalam fasa pembangunan Negeri Selangor. Antara 6 bidang tumpuan utama di bawah Tema Strategi 2 adalah tumpuan khas terhadap kumpulan sasar iaitu belia, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Strategi 6 pula telah menetapkan persediaan Kerajaan Negeri dalam menangani isu negeri berpopulasi tua melalui projek, program dan inisiatif utama termasuklah dengan menyediakan Platform Pekerjaan Warga Emas Selangor, Program Penuaan Aktif Selangor, membina fasiliti persaraan dan menyediakan latihan penjaga untuk warga emas
Selaras dengan Matlamat Kerajaan Negeri tersebut, MBPJ turut mengambil inisiatif untuk menyediakan Pelan Tindakan Warga Emas Petaling Jaya 2030 yang bermatlamat untuk melahirkan “Warga emas Petaling Jaya yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif, selamat dan bahagia dalam persekitaran yang kondusif untuk kehidupan yang lebih sejahtera” dengan memberi tumpuan khusus kepada 5 bidang fokus iaitu KESIHATAN, EKONOMI, SOSIAL & KESELAMATAN, PENDIDIKAN dan PERSEKITARAN.
Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Warga Emas Petaling Jaya 2030 telah dilancarkan hari ini oleh YBrs. Tuan Hj. Mohamad Zahri bin Hj. Samingon, Datuk Bandar Petaling Jaya bersama-sama dengan Encik Delren Terrence Douglas, Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas SeMalaysia (AGECOPE) dan YBhg. Datuk Dr. Soon Ting Kueh, Presiden National Council of Senior Citizens Organisation Malaysia (NASCOM).
Bagi memastikan pelaksanaan dan pemantauan yang berkesan terhadap Pelan Tindakan tersebut, satu pasukan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Perundingan Pelan Tindakan Warga Emas Petaling Jaya 2030 akan ditubuhkan pada 17hb Mei 2024 yang berperanan sebagai “Focused Group” yang terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran berkaitan warga emas yang akan membincangkan secara fokus mengenai isu-isu, permasalahan, kaedah penyelesaian dan ketersediaan data terhadap pelaksanaan Pelan Tindakan Warga Emas Petaling Jaya 2030. Jawatankuasa ini juga akan bertanggungjawab dalam membuat penilaian, pemantauan dan pengukuran terhadap pelaksanaan setiap tindakan yang telah ditetapkan di dalam pelan tersebut.
Source:MBPJ FB