Program CommFest: Nukilan Lentera “Dari Lensa, Demi Malaysia” telah berjaya dilaksanakan pada 4 Oktober 2026, dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). Program anjuran pelajar Semester 7 dan 8, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) dalam Komunikasi Korporat (BK201), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) ini merupakan sebahagian daripada keperluan kursus Communication Final Project (COC4024) di bawah Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Kemanusiaan (FESSH). Program ini melibatkan 36 orang pelajar dan diketuai oleh Dayana Safiyya binti Zulhalmi selaku pengarah program, dengan bimbingan Dr. Aida Suhana binti Abdul Hamid sebagai pensyarah dan penasihat program.
CommFest: Nukilan Lentera merupakan pertandingan filem pendek yang menggabungkan komunikasi, kreativiti dan semangat patriotisme melalui penceritaan visual. Seramai 101 peserta daripada 12 pasukan menyertai pertandingan ini, merangkumi enam pasukan kategori terbuka dan enam pasukan kategori sekolah. Pertandingan ini bertujuan memberi ruang kepada peserta untuk mengetengahkan kreativiti serta menyampaikan mesej tentang patriotisme, perpaduan, kepelbagaian budaya, warisan dan identiti Malaysia.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Afdlin Shauki sebagai perasmi dan tetamu kehormat. Sesi perkongsian industri turut diadakan bersama Azmi Jamsari sebagai fasilitator, yang berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan industri perfileman. Pertandingan dinilai oleh Encik Muhammed Izzat Hasan, Prof. Madya Dr. Aminah Abd Rhapor, Puan Vanidah binti Imran dan Encik Taufiq Hanafi, dengan Encik Faizal Ariff sebagai ketua juri. Bagi kategori terbuka, Kibo Visuals muncul sebagai johan, diikuti Attarfilmworks Production sebagai naib johan dan PSV Karsa di tempat ketiga. Bagi kategori sekolah pula, SMK Ghafar Baba merangkul gelaran johan, diikuti SMK Sultan Abdul Samad PJ sebagai naib johan dan SMK Tengku Ampuan Jemaah di tempat ketiga.
Menurut Dayana Safiyya Zulhalmi, pengarah program, “Kami berharap CommFest: Nukilan Lentera bukan sekadar sebuah pertandingan filem pendek, tetapi sebuah pentas yang memberi ruang kepada generasi muda untuk menyuarakan identiti, semangat dan cerita Malaysia melalui karya kreatif yang mampu meninggalkan impak kepada masyarakat.”
Penganjuran program ini mendapat sokongan daripada Film Directors’ Association of Malaysia (FDAM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta pelbagai syarikat, organisasi dan individu. Antara penyumbang yang terlibat ialah HYGR Sdn. Bhd., Neatness Group Sdn. Bhd., Land Serve, Metadata Systems Sdn. Bhd., R2U Aircond & Renovation, M&S Everyday Fashion, KNK Industries, Thien Sheng Packing & Forwarding Sdn. Bhd., Tim’s Catering, KL Garage Sdn. Bhd., Mentari Beauty Resources, Aura Global Solution Enterprise, Sahadin & Co, Mid-City Language Center, MM Apparel, Rodin Creative Sdn. Bhd. dan Usrah Sinar Enterprise, selain Majlis Bandaraya Daerah Klang serta individu-individu yang turut memberikan sumbangan dan sokongan. Kerjasama semua pihak ini amat dihargai dalam memastikan kelancaran dan kejayaan program.
Secara keseluruhannya, CommFest: Nukilan Lentera “Dari Lensa, Demi Malaysia” menjadi platform untuk menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang bagi berkongsi idea, kreativiti dan perspektif melalui filem pendek. Program ini turut memberi pengalaman praktikal kepada pelajar dalam mengaplikasikan ilmu komunikasi dan kemahiran pengurusan acara. Penganjur berharap program ini dapat terus menggalakkan generasi muda menghasilkan karya kreatif yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyampaikan mesej bermakna tentang patriotisme, perpaduan, budaya dan identiti Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai CommFest: Nukilan Lentera “Dari Lensa, Demi Malaysia” boleh didapati melalui Instagram rasmi @nukilan.lentera. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Dayana Safiyya Zulhalmi di talian 010-322 3681 atau Dr. Aida Suhana Abdul Hamid di talian 012-267 9447.
Source: Pelajar Semester 7 dan 8, Bachelor of Communication (Hons) in Corporate Communication (BK201), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM)



